Agong berangkat ke pra-mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke pra-mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang berlangsung di Istana Negara.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi baginda, mesyuarat pra-Majlis itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keberangkatan Seri Paduka turut diiringi anakanda baginda, Tunku Idris Iskandar, yang hadir sebagai wakil rasmi kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Antara yang turut hadir ialah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Turut hadir Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai dijangka menjadi tumpuan susulan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Mesyuarat selama tiga hari itu dijangka memberi penekanan terhadap kemelut berkenaan sama ada akan menemui jalan penyelesaian atau terus berpanjangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








