Agong berkenan lantik 4 pegawai kanan ATM
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan beberapa pegawai kanan bagi mengisi jawatan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini, perkenan baginda diberikan pada semalam selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lalu.
“Pelantikan itu melibatkan empat jawatan utama ATM, iaitu Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM, manakala Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama.

Selain itu katanya, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat sementara Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin TUDM dilantik sebagai Ketua Eksekutif MiDAS.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan menegaskan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.


Menurut kementerian, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
“Kementerian yakin barisan kepimpinan baharu ini berkeupayaan memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








