SPRM turut dalam radar Agong perangi rasuah
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran lebih ramai lagi berada dalam ‘radar’ baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.
Sultan Ibrahim bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
Justeru, baginda mengingatkan usaha memerangi rasuah bukan hanya bertumpu pada segelintir jabatan atau individu yang memberi dan menerima rasuah, sebaliknya turut melibatkan mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi jabatan.
Menurut baginda, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak terlepas daripada perhatian dalam usaha berkenaan.
“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’.
“Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Baginda bertitah, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang.
Sehubungan itu, baginda menegaskan sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







