Ronaldo dibayangi kecederaan, impian aksi Piala Dunia keenam jadi tanda tanya
LONDON – Harapan peminat untuk melihat kelibat penyerang prolifik Portugal, Cristiano Ronaldo, beraksi pada Piala Dunia buat kali keenam kini diselubungi kebimbangan selepas beliau dilaporkan mengalami masalah otot ketika membantu Al-Nassr menundukkan Al-Feyha 3-1 dalam saingan Liga Pro Saudi.
Dalam perlawanan tersebut, Ronaldo yang kini berusia 41 tahun turut berdepan detik mengecewakan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan.
Beliau kemudiannya dilihat memberi isyarat kepada bangku simpanan sebelum dikeluarkan pada minit ke-80 selepas menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan, sejurus pasukannya berada di hadapan.
Ronaldo turut kelihatan meletakkan pek ais di bahagian belakang lutut ketika duduk di bangku simpanan.
Insiden itu merupakan kali kedua dalam tempoh singkat beliau terpaksa meninggalkan padang lebih awal, selepas turut dikeluarkan sebelum tamat sejam permainan ketika menentang Al-Najma minggu lalu.
Situasi itu pastinya mengundang resah memandangkan Piala Dunia hanya berbaki kira-kira tiga bulan.
Sekiranya kecederaan yang dialami serius, ia boleh menggugat impian Ronaldo untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi kejohanan berprestij itu.
Edisi kali ini juga dijangka menjadi penampilan terakhirnya di pentas dunia, dengan Portugal diundi dalam kumpulan yang dilihat tidak terlalu getir bersama Colombia, Uzbekistan serta satu lagi wakil sama ada DR Congo, Jamaica atau New Caledonia.
Dalam pada itu, Ronaldo turut memburu pencapaian peribadi apabila semakin hampir mencapai 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.
Beliau kini hanya memerlukan 35 lagi jaringan untuk melengkapkan angka bersejarah tersebut.
Di pentas domestik, Al-Nassr kini mengungguli carta liga dengan kelebihan dua mata ke atas Al-Ahli dan tiga mata di hadapan Al-Hilal.
Ronaldo setakat ini telah meledak 21 gol liga musim ini, bersaing rapat dengan Julian Quinones (22 gol) dan Ivan Toney (23 gol) dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








