BERITA SEMASASUKAN

Merino musnahkan impian Ronaldo, Sepanyol ke suku akhir

DALLAS – Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Portugal dengan jaringan 1-0 dalam aksi dramatik pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium AT&T, awal pagi tadi.

Jaringan pemain tengah Arsenal itu memastikan La Roja mara ke suku akhir, sekali gus menamatkan kempen Portugal sekaligus menjadikan penampilan bintang bola sepak terkemuka, Cristiano Ronaldo sebagai yang terakhir di pentas Piala Dunia.

Merino menyempurnakan hantaran Ferran Torres sebelum melepaskan rembatan tenang menewaskan penjaga gol Diogo Costa ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan.

Sementara itu, Sepanyol akan menentang pemenang antara Belgium dan Amerika Syarikat bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Di hadapan lebih 70,000 penyokong, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati dengan peluang jaringan agak terhad meskipun masing-masing hadir ke perlawanan tanpa sebarang kekalahan sepanjang kejohanan.

Sepanyol hampir mendahului seawal minit ke-10, namun Mikel Oyarzabal gagal memanfaatkan peluang keemasan selepas menerima hantaran Dani Olmo apabila rembatannya tersasar meskipun hanya berdepan Diogo Costa.

Portugal turut mencipta beberapa peluang menerusi Cristiano Ronaldo yang menguji penjaga gol Unai Simon dari sudut sempit, manakala percubaan Lamine Yamal dan Alex Baena pula berjaya dipatahkan Costa yang beraksi cemerlang di gawang Portugal.

Portugal hampir membuka jaringan sebelum tamat babak pertama apabila tandukan pertahanan Sepanyol, Pedro Porro, hampir menghasilkan gol sendiri selepas cuba mengeluarkan percubaan Nuno Mendes yang terkena palang.

Pada babak kedua, Portugal menerima tamparan apabila Nuno Mendes terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, sekali gus memberi lebih ruang kepada jentera serangan Sepanyol.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez melakukan beberapa pertukaran pemain, namun tetap mengekalkan Ronaldo sehingga tamat perlawanan dalam usaha memburu kemenangan.

Bagaimanapun, ketika kedua-dua pasukan bersedia mengharungi masa tambahan, Ferran Torres melorongkan bola kepada Merino yang tenang menewaskan Costa untuk menghadiahkan kemenangan dramatik kepada Sepanyol.

Kekalahan itu menandakan berakhirnya perjalanan Ronaldo di Piala Dunia selepas legenda berusia 41 tahun itu mengesahkan sebelum perlawanan bahawa edisi 2026 merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan paling berprestij dunia itu.

Sepanyol pula meneruskan rekod cemerlang apabila masih belum melepaskan sebarang gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026 dan kekal antara calon utama untuk menjulang trofi buat kali kedua selepas kejayaan pada edisi 2010.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button