Tiada wakil pasukan, penyokong China sandar harapan kepada pengadil di Piala Dunia
BEIJING – Kegagalan skuad kebangsaan China melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 bukan penghalang penyokong republik itu untuk mempunyai wakil di pentas bola sepak berprestij tersebut.
Sebaliknya, perhatian kini terarah kepada pengadil berpengalaman China, Ma Ning yang dianggap sebagai ‘wakil negara’ pada kejohanan yang akan bermula Khamis ini.
Menurut laporan BBC News, Ma, 46, bukan sahaja menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak China, malah turut mencetuskan pelbagai meme tular di media sosial serta menarik minat syarikat-syarikat besar untuk menajanya, termasuk Lenovo dan Hisense.
Pengadil yang terkenal dengan ketegasannya itu pernah mengeluarkan sembilan kad kuning dan tiga kad merah dalam satu perlawanan di Shanghai pada 2015, sekali gus memberikannya gelaran ‘raja kad’ dalam kalangan peminat.
Piala Dunia kali ini merupakan penampilan kedua Ma selepas membuat penampilan sulung di kejohanan yang berlangsung di Qatar pada 2022 sebagai pegawai keempat yang membantu pengadil dari luar padang.
Populariti Ma terus meningkat menjelang kejohanan apabila topik berkaitannya meraih jutaan tontonan di platform media sosial RedNote.
Sebahagian pengguna media sosial menyatakan sokongan kepadanya, manakala ada yang meluahkan kekecewaan terhadap prestasi bola sepak China yang terus merudum.
“Kami ada Ma Ning, kamu ada siapa?” tulis seorang pengguna RedNote.
Seorang lagi pengguna menyindir bahawa penyokong negara lain dapat menyaksikan pasukan mereka beraksi, manakala rakyat China hanya mampu melihat pengadil mereka mengeluarkan kad kepada pemain.
Ketika ini, Ma berada di Miami bagi menghadiri kem latihan pegawai perlawanan selama 10 hari bersama dua lagi wakil China iaitu penolong pengadil Zhou Fei dan pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) Fu Ming.
Ketiga-tiga mereka akan membantu memastikan kelancaran perjalanan perlawanan sepanjang kejohanan.
Ma yang mendapat pengiktirafan sebagai pengadil FIFA sejak 2011 turut berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Sukan Nanjing.
Bagi berkongsi pengalaman sepanjang bertugas di Piala Dunia, beliau membuka akaun RedNote kira-kira dua minggu lalu dan berjaya meraih hampir 200,000 pengikut dalam tempoh singkat.
China hanya pernah layak ke Piala Dunia sekali sahaja iaitu pada tahun 2002, namun tersingkir di peringkat kumpulan tanpa meraih sebarang mata.
Sejak dua dekad lalu, pembangunan bola sepak negara itu terus dibelenggu pelbagai masalah termasuk krisis kewangan dan skandal rasuah yang menyaksikan beberapa pemain, pengadil serta pegawai kelab dikenakan hukuman larangan seumur hidup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








