Air Sungai Perak bertukar biru disyaki akibat logam berat, bahan kimia – NRES
KUALA LUMPUR – Perubahan warna Air Sungai Perak kepada biru di kawasan Parlimen Gerik dipercayai dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu, yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dapatan itu berdasarkan pemerhatian awal pasukan petugas khas (task force) yang dianggotai pelbagai agensi teknikal.
“Selain aktiviti perlombongan, pembukaan tanah bagi tujuan lain turut berpotensi menyumbang kepada insiden tersebut berikutan sifat geologi di kawasan Hulu Perak yang dikenal pasti mempunyai kandungan mineral yang tinggi.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih memerlukan pengesahan melalui analisis makmal serta penilaian lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Isu Sungai Perak bertukar biru mula tular di media sosial pada Oktober 2025, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap kualiti air, keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.
Susulan itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengaktifkan gerak kerja pasukan petugas khas pada 26 dan 27 November 2025, melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pasukan tersebut menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air di kawasan terlibat, dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri Perak seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak (PDTHP) serta Lembaga Air Perak.
Arthur turut berkata, NRES akan terus memperkukuhkan tadbir urus serta kawal selia aktiviti perlombongan di bawah bidang kuasa kementerian itu melalui penguatkuasaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Langkah berkenaan termasuk memastikan pematuhan syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan JAS, pengurusan rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen bagi kelulusan Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) oleh JMG.
“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








