RUU Pendanaan Politik: Semua 72 parti politik disaran nyatakan pendirian secara rasmi
KUALA LUMPUR – Kesemua 72 parti politik dalam negara disaran mengemukakan pendirian rasmi secara bertulis berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendirian sedemikian akan dapat memberikan gambaran jelas mengenai sokongan, penolakan atau cadangan alternatif terhadap RUU berkenaan.
“Kalau setakat survey orang-orang politik, kadang-kadang dia cakap ia tidak mengikat parti politik. Sebab itu saya mencadangkan supaya kita mendapatkan respons rasmi parti politik.
“Saya mahu tahu parti mana yang setuju, tidak setuju atau mungkin ada cadangan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pendanaan Politik 2026, hari ini.
Beliau berkata, RUU tersebut masih diperhalusi termasuk daripada segi sumber sumbangan, termasuk sumbangan daripada penderma asing, selain mekanisme pendedahan serta perlindungan kepada penderma.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan sistem yang diperkenalkan tidak menyebabkan penderma yang memberikan sumbangan secara sah berdepan risiko tindakan hanya kerana menyumbang kepada parti politik.
“Kalau orang bagi duit, kita bagi resit. Tetapi mereka kena kaji sama ada kita nak beri perlindungan kepada penderma. Kalau tidak, orang tidak akan menderma,” katanya.
Mengenai kemungkinan RUU itu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana pelaksanaannya bergantung kepada proses kerajaan serta keputusan mengenai tarikh PRU.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








