BERITA SEMASAPOLITIK

RUU Pendanaan Politik: SU Agung parti politik akan dipanggil beri cadangan, pandangan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memanggil setiausaha agung semua parti politik bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggubalan rang undang-undang (RUU) Pendanaan Politik dalam masa terdekat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertemuan ini diadakan bagi mendapatkan pendirian setiap parti dan membincangkan persoalan dasar yang timbul berhubung RUU terbabit.

Kerajaan juga akan mengambil pandangan dan cadangan parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak berkecuali bagi memastikan keputusan diambil adalah inklusif dan merangkumi pelbagai perspektif.

Ini termasuk mengambil kira kajian semua parti politik dan pandangan pihak berkepentingan, termasuk orang awam.

Setakat ini, kata Azalina, kerajaan sudah melaksanakan beberapa mesyuarat pada 2023 hingga 2024 dalam usaha penggubalan RUU Pendanaan Politik yang mana Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut membentangkan cadangan penetapan dasar.

“BHEUU JPM juga mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Disember 2024.

“Ia bagi membincangkan cadangan utama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai had skop bayaran sumbangan dan pendanaan awam untuk parti politik.

“Sesi libat urus turut diadakan dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melalui penganjuran Political Financing International Conference 2025 pada 14 Januari lalu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai status Akta Pendanaan Politik dan bila RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Azalina berkata, lapan sesi libat urus sudah diadakan setakat ini, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Pada 10 Februari lalu, JKPK mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.

“Pada 12 Februari lalu, saya mempengerusikan mesyuarat bersama JKPK, KRPPM serta kementerian dan agensi kerajaan seperti SPRM, MOF, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.

“Masih ada beberapa perkara dasar belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik,” katanya lagi.

Antara lain, cadangan RUU ini dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button