MP Sepang sokong hasrat Perdana Menteri, tunggu arahan negeri laksana penguatkuasaan
SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Perdana Menteri untuk memastikan pihak berkuasa tempatan bertindak tegas dalam menangani isu pencerobohan dan binaan di atas tanah rizab kerajaan.
Yang Dipertua MP Sepang, Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya menyokong pendirian Perdana Menteri kerana langkah penguatkuasaan awal penting bagi mengelakkan masalah menjadi lebih besar pada masa hadapan.
“Kita menyokong hasrat Perdana Menteri kerana tanah rizab ini disediakan untuk kegunaan pembangunan masa hadapan. Jika tidak diambil tindakan awal, binaan ini akan terus berkembang dan menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya selepas Majlis Hi-Tea bersama media di sini hari ini.
Menurut beliau, MP Sepang kini berada dalam proses mengenal pasti kawasan terlibat serta mengemas kini inventori sedia ada, namun sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dibuat berdasarkan keputusan dan arahan kerajaan negeri Selangor.
“Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri. Sekiranya arahan dikeluarkan, MP Sepang bersedia melaksanakan tindakan bersama pejabat daerah dan agensi berkaitan secara bersepadu,” katanya lagi.
Beliau berkata, kebanyakan kes melibatkan pencerobohan di atas tanah rizab kerajaan seperti rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain terdapat juga binaan di atas tanah persendirian yang tidak dijaga pemilik.
“Tindakan penguatkuasaan ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati kerana isu ini sensitif dan melibatkan pelbagai pihak.
“Namun, kita tidak boleh membiarkan keadaan berlarutan sehingga binaan menjadi besar dan sukar dikawal,” katanya lagi.
Dr Ani turut berkata, MP Sepang komited untuk bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa bagi memastikan tanah rizab dilindungi selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menitikberatkan tadbir urus dan kelestarian pembangunan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








