BERITA SEMASA

Bazar Ramadan: MP Sepang tawar 800 petak, tumpu tiga elemen utama

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan tiga elemen utama iaitu bebas plastik, pengurangan penggunaan penyedut minuman plastik dan pengukuhan program keselamatan I-Safe dalam memastikan operasi Bazar Ramadan tahun ini lebih lestari dan teratur.

Pengarah Jabatan Pelesenan MP Sepang, Noor Halif Noorzan berkata, taklimat serta perancangan awal telah diadakan minggu lalu sebagai persediaan menjelang 1 Ramadan.

“Kita telah mengadakan taklimat minggu lepas dan Alhamdulillah, semua perancangan berjalan lancar.

“Tahun ini kita teruskan tiga fokus utama iaitu bebas plastik, kurangkan penggunaan penyedut minuman plastik dan pelaksanaan program I-Safe yang kini memasuki tahun ketiga,” katanya selepas majlis Hi-Tea bersama media di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 800 petak niaga ditawarkan di 12 lokasi seluruh daerah Sepang termasuk tapak tumpuan di Petronas Sepang International Circuit (SIC) dan Bazar Ramadan Cyberjaya yang kini dipindahkan ke Street Mall bagi menyediakan persekitaran lebih tersusun serta kondusif.

“Di Street Mall sahaja terdapat 120 petak melibatkan pelbagai jualan makanan dan minuman. Kadar sewaan kekal RM120 untuk tempoh 30 hari sejak 2011,” jelasnya.

 

Dalam usaha memperkasa sistem transaksi tanpa tunai, MP Sepang pada tahun ini menjalinkan kerjasama dengan Agrobank dan Kerajaan Negeri Selangor bagi memperluaskan penggunaan sistem pembayaran cashless di semua bazar Ramadan.

Pada masa sama, Noor Halif menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang didapati menyewakan semula tapak kepada pihak lain.

“Lesen akan dibatalkan serta-merta dan individu terlibat akan disenarai hitam.

“Kita tidak benarkan sebarang aktiviti sewa atas sewa kerana lesen diberikan kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button