BERITA SEMASA

Sembilan aktivis FFC dari Malaysia bebas, diterbangkan ke Turkiye malam ini

Dijangka pulang ke tanah air Ahad ini

KUALA LUMPUR – Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang ditahan rejim zionis ketika menyertai misi Delegasi yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) diterbangkan ke Turkiye malam ini.

Penerbangan mereka dijangka tiba di Istanbul jam 7.30 malam sebelum berlepas pulang ke Malaysia, Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam satu hantaran di Facebook.

“Pihak MyCARE sudah menerima pengesahan daripada Wisma Putra bahawa kesembilan delegasi Malaysia yang menyertai FFC dan TMTG akan tiba di Istanbul jam 7.30 malam ini,” katanya menurut hantaran itu.

Kamarul Zaman turut memaklumkan sudah menghantar wakil ke Istanbul untuk menyambut kepulangan sembilan aktivis terbabit.

“Kesemua aktivis dijangka pulang ke Malaysia, Ahad ini,” katanya.

Sembilan delegasi Malaysia berkenaan ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta aktivis, Dr Maziah Muhammad.

Lapan daripada mereka berada dalam kapal Conscience manakala Dr Maziah berada dalam kapal Umm Saad.

Dua buah kapal tersebut bersama tujuh lagi kapal iaitu Abd Elkarim Eid, Alaa Al-Najjar, Anas Al Sharif, Gaza Sunbird, Leila Khaled, Milad dan Soul of My Soul dipintas tentera Israel ketika dalam pelayaran di kedudukan 120 batu nautika (zon kuning) dari Gaza, Rabu lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button