USIM perkukuh peranan universiti berjiwa rakyat melalui Program Kampung Angkat MADANI di Kuala Pilah
KUALA PILAH – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh tanggungjawab sosialnya dalam pembangunan masyarakat luar bandar menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI 2025 yang dilancar secara rasmi di Kampung Sungai Talan, Juasseh, di sini, semalam.
Majlis penyerahan watikah pelantikan kampung angkat tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani.
Ia turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, barisan pengurusan universiti, agensi kerajaan dan penduduk setempat.

Program yang dikendalikan oleh Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM dengan sokongan Bahagian Libatsama Masyarakat (BLM) itu menerima dana sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk penambahbaikan infrastruktur asas, program pemindahan ilmu serta pengukuhan hubungan sosial antara universiti dan komuniti luar bandar.
Menurut Sharifudin, Program Kampung Angkat MADANI merupakan wadah penting bagi memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat.
“USIM datang bukan sekadar membawa kepakaran akademik tetapi dengan semangat memartabatkan kesejahteraan komuniti.
“Pembangunan fizikal seperti gelanggang riadah dan penambahbaikan masjid hanyalah permulaan, yang lebih utama ialah membina masyarakat yang berilmu, berdaya dan berakhlak,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Sungai Talan yang bekerjasama menjayakan pelbagai projek komuniti termasuk pewakafan tanah di hadapan masjid bagi pembinaan gelanggang sepak takraw dan futsal sebagai pusat riadah serta interaksi sosial.

“Tanah wakaf ini amat besar nilainya. Ia bukan sekadar ruang bersukan, tetapi simbol sinergi antara masjid, universiti dan komuniti yang berpaksikan nilai-nilai MADANI,” ujarnya lagi.
Antara projek utama yang dirancang di bawah inisiatif itu termasuk menaik taraf balai raya, masjid dan kemudahan di base hiking Bukit Batu Bujang Lelo yang dikenal pasti berpotensi sebagai lokasi eko-pelancongan dan riadah keluarga.
Selain itu, USIM turut merancang penganjuran Karnival Juasseh yang akan melibatkan pelbagai fakulti seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Pergigian (FPg) serta pasukan Quran Buddies dalam menjayakan program pemeriksaan kesihatan percuma, rawatan gigi dan bimbingan Al-Quran kepada penduduk tempatan.

“Karnival ini bukan sekadar acara tahunan tetapi usaha berterusan bagi membina hubungan jangka panjang antara USIM dan masyarakat Juasseh. Inilah cerminan universiti yang benar-benar berjiwa rakyat,” tambah beliau.
Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendekatan berasaskan komuniti serta menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan simbolik penyerahan watikah Kampung Angkat MADANI 2025, penyampaian sumbangan kepada warga asnaf serta lawatan ke lokasi projek seperti Pusat Riadah dan Sukan USIM@Komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








