Mayat bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran pencawang telekomunikasi di Juasseh
KUALA PILAH – Penemuan mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di kawasan pencawang telekomunikasi di Juasseh di sini, petang semalam, menggemparkan penduduk setempat.
Bayi yang berada dalam keadaan cukup sifat itu dipercayai telah meninggal dunia kira-kira dua hari sebelum ditemukan dan sudah menunjukkan tanda-tanda awal pereputan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Shamrol Shah Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 6.30 petang.
“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada pukul 6.54 petang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bersama Bahagian Forensik (D10) Kontinjen Negeri Sembilan telah ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi berkenaan adalah lelaki, cukup sifat dan masih bertali pusat.
“Pemeriksaan lanjut menunjukkan bayi itu dianggarkan telah meninggal dunia sejak dua hari lalu dan mula mengalami proses pereputan.
“Tiada kesan kecederaan luaran ditemui setakat ini, namun identiti bayi serta punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, selain siasatan lanjut termasuk semakan rekod rawatan berkaitan turut dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau pegawai penyiasat, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-993 3978.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


