Olek Godang@USIM: Tradisi konvokesyen yang menyatukan kampus, komuniti
SETIAP kali tiba musim konvokesyen, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak sekadar meraikan kejayaan para graduannya malah menghidupkan suasana kampus dengan sebuah tradisi iaitu Olek Godang@USIM.
Program tahunan itu kembali dianjurkan buat kali ke-23 sempena Istiadat Konvokesyen USIM di perkarangan Dewan Tuanku Canselor baru-baru ini.
Pengarah Program Oleh Godang@USIM, Ridhwan Syahir Rusli berkata, penganjuran tahun ini membawa aspirasi untuk merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat.

“Sejak konvokesyen pertama universiti ini, Olek Godang terus menjadi wadah pertemuan warga kampus, alumni, keluarga graduan dan komuniti sekitar Nilai.
“Ia bukan sekadar pesta konvokesyen, sebaliknya berkembang sebagai platform yang meraikan ilmu, bakat, spiritualiti dan kebersamaan antara universiti dan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut Ridhwan lagi, program tersebut diharap menjadi ruang integrasi yang mempertemukan mahasiswa dan komuniti.

“Ia dapat dilakukan melalui aktiviti yang bermanfaat, inklusif dan berteraskan nilai kebersamaan di samping meraikan kejayaan para graduan dalam suasana penuh bermakna,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi edisi ke-23, penganjuran Olek Godang@USIM digerakkan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2024/2025 dengan sokongan padu pelbagai badan pelajar di bawah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

“Usaha ini mencerminkan keupayaan mahasiswa mengurus program berskala besar selain memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan generasi muda kampus,” jelasnya.
Selaras dengan matlamat memperkukuh keterlibatan komuniti serta mempromosikan identiti USIM sebagai universiti berteraskan nilai Islam dan ilmu, Olek Godang@USIM 2025 mengetengahkan tujuh kluster utama.
Kluster tersebut merangkumi aspek rohani, sukan, pertandingan, perasmian, jualan dan pameran selain pengisian fasa promosi yang dirangka secara holistik bagi memenuhi pelbagai lapisan pengunjung.
Antara acara yang mencuri tumpuan ialah Negeri Sembilan Berselawat x Quran Hour 2025 yang mengangkat pengisian kerohanian.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Nasyid Ihtifal Kesenian Islam Inter-Fakulti (IKIIF) 2025, Nocturnal Run 10.0, USIM E-Sports Championship serta pelbagai pertandingan kreatif yang memberi ruang kepada mahasiswa menzahirkan bakat dan inovasi.
Program kemasyarakatan di bawah siri USIM@Komuniti itu turut memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat melalui aktiviti berimpak dan inklusif.
Kemeriahan Olek Godang@USIM turut diserlahkan dengan penganjuran Jualan Rahmah Madani serta kehadiran deretan reruai perniagaan daripada pelbagai pengusaha dan agensi. Antaranya RHB Bank, Sobella, Mary Kay dan Tabung Haji.

“Kehadiran reruai ini bukan sahaja memeriahkan tapak konvokesyen malah memberi manfaat ekonomi serta peluang interaksi langsung antara pengunjung dan pihak industri,” kata Ridhwan.
Penganjuran berskala besar itu turut mendapat sokongan padu penaja rasmi termasuk RHB, Extrajoss, Right Vision Travel, Yayasan Perkasa Siswa, Hirex Group, Tabung Haji, Mary Kay, Sunshine Bakeries dan Banat Sandwich yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan program berkenaan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Mukhriz. Ia turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Neoplasma serta kumpulan nasyid terkenal tanah air, Inteam.
Program itu melabuhkan tirainya dengan penutupan rasmi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Dr Mushaddad Hasbullah.

Secara keseluruhannya, Olek Godang@USIM bukan sekadar pelengkap konvokesyen, malah menjadi simbol kesinambungan tradisi, kreativiti mahasiswa dan komitmen universiti dalam menghubungkan ilmu dengan masyarakat.
Ia membuktikan bahawa sambutan konvokesyen mampu diraikan secara inklusif, berimpak dan sarat dengan nilai kebersamaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








