BERITA SEMASAHIBURAN

Helloween 40 Years Anniversary: Kepulangan raja power metal dunia

SAYA masih ingat dengan jelas saat pertama kali mendengar “In the Middle of a Heartbeat”, naskah balad dari album Master of the Rings sekitar pertengahan 90-an, sebelum saya menjamah karya-karya lebih popular seperti I Want Out, Future World dan Dr. Stein.

Lagu-lagu balad heavy metal pada pertengahan tahun 90-an bukanlah sesuatu yang asing. Pilih sahaja album dari Scorpions, Metallica, Iron Maiden, Manowar atau Pantera, pasti terselit satu atau dua lagu balad.

Bermula dengan Helloween, perjalanan masuk saya ke dunia power metal bermula. Setiap rif, laungan vokal tinggi yang membelah langit hinggalah korus yang membangkitkan semangat, semuanya terpahat segar dalam ingatan.

Selepas puluhan tahun, memori di bilik bujang yang dipenuhi poster band heavy metal dengan speaker kotak DIY itu kembali menerjah apabila berita kumpulan legenda dari Jerman itu bakal beraksi di Malaysia.

Bagi yang membesar dengan muzik metal era 90-an, ia bukan sekadar sebuah konsert tapi tentunya kepulangan sebuah kumpulan muzik heavy metal penuh legasi yang tidak mahu dilepaskan.

Pentas Zepp yang semakin rancak menjadi tuan rumah kepada persembahan kumpulan-kumpulan metal dari luar negara seakan-akan mula memanggil dengan dentuman sistem audio bertaraf dunia.

Konsert “Helloween 40 Years Anniversary Tour” di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember ini, dijangka mengulangi kehebatan persembahan kali pertama kumpulan itu di Malaysia pada 2018.

Helloween akan mengadakan konsert 40 Years Anniversary Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember 2025 sempena ulang tahun ke-40.

 

Kuasa sebenar power metal

Ditubuhkan pada awal 1980-an di Hamburg, Helloween menempa nama dengan album Walls of Jericho (1985) sebelum benar-benar meledak melalui karya agung Keeper of the Seven Keys Part I & II (1987/1988).

Dua album yang dianggap ‘batu asas’ kepada genre power metal moden dengan lagu-lagu epik seperti Future World, I Want Out dan Eagle Fly Free yang masih menjadi siulan peminat hingga kini.

Era 90-an menyaksikan mereka terus bertahan walaupun melalui pelbagai fasa pertukaran anggota.

Album seperti Master of the Rings (1994) dan Time of the Oath (1996) membuktikan Helloween bukan sekadar nostalgia tetapi sebuah kumpulan yang mampu berevolusi dan terus relevan dalam arus muzik metal antarabangsa.

Persembahan di Kuala Lumpur kali ini dijangka lebih istimewa dengan gabungan anggota asal dan baharu, termasuk tiga vokalis utama yang menjadi ikon sepanjang sejarah kumpulan ini iaitu Michael Kiske, Kai Hansen dan Andi Deris.

Lebih menarik, konsert ini juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa Helloween yang telah mencetuskan fenomena di Eropah, Amerika Latin dan Asia.

Yang pasti, konsert yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment itu bukan sekadar biasa, tetapi perayaan kepada sebuah legasi muzik yang bertahan lebih 40 tahun.

Tiket kini boleh didapati di laman rasmi www.myticketempire.com dengan pilihan bayaran fleksibel melalui Atome, PayLater oleh Grab, dan SpayLater oleh Shopee.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button