JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar tingkatan enam maut nahas tiga kenderaan di Sabak Bernam

SHAH ALAM – Seorang pelajar tingkatan enam maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Tengah, Sabak Bernam, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa wanita berusia 19 tahun yang merupakan pelajar di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, kemalangan membabitkan motosikal Honda RS150, Yamaha 135LC dan sebuah van Ford Econovan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal Honda RS150 yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang Yamaha 135LC yang sedang memperlahankan kenderaan untuk masuk ke simpang kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah van Ford Econovan.

“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button