AGAMA

As Sofa anjur Makan Malam Amal, lancar pembangunan kompleks pendidikan

KUALA LUMPUR – Yayasan Sofa dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan Sofa (SEG) bakal menganjurkan Majlis Makan Malam Amal dan Apresiasi Akademik As Sofa serta Pelancaran Pembangunan Kompleks Pendidikan As Sofa di Hotel Intercontinental, di sini Ahad ini.

Majlis julung kali diadakan itu bertujuan menghargai kecemerlangan akademik para pelajar As Sofa di samping mengajak masyarakat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan sebuah kampus tetap Kolej Islam As Sofa yang disasarkan sebagai pusat pendidikan Islam bersepadu bertaraf nasional.

Makan Malam Amal
Poster Majlis Makan Malam Amal dan Apresiasi Akademik As Sofa serta Pelancaran Kompleks Pendidikan As Sofa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa, Mohamad Arif Irmon berkata, penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen Yayasan Sofa dalam memastikan kesinambungan pendidikan Islam yang berkualiti, tersusun dan mampan untuk generasi akan datang.

“Pembangunan Kompleks Pendidikan As Sofa bukan sekadar projek fizikal tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan ummah.

“Ia bertujuan melahirkan huffaz profesional, insan berilmu yang berakhlak mulia serta mampu berbakti dan menyumbang secara aktif kepada agama, bangsa dan negara.

“Kami percaya sokongan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan usaha besar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ustaz Arif Irmon
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa, Ustaz Arif Irmon

Menurut beliau, majlis berkenaan turut menjadi medan penyatuan pelbagai pihak termasuk penderma, alumni, pendidik, tokoh masyarakat dan pencinta ilmu bagi menggerakkan agenda pendidikan Islam yang holistik serta relevan dengan keperluan semasa.

Majlis pelancaran Kampus Tetap Kolej Islam As Sofa bakal disempurnakan oleh Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja, Abd Rahim Yasin sebagai simbol kepimpinan adat dan masyarakat terhadap pembangunan institusi pendidikan Islam tersebut.

As Sofa
Sebahagian pelajar huffaz yang berjaya dilahirkan melalui pelbagai institusi pendidikan As Sofa.

Bagi tujuan sumbangan, pihak penganjur menyediakan beberapa pakej tajaan iaitu Pakej Emas berharga RM700, Pakej Perak (RM500) dan Pakej Gangsa (RM350), masing-masing melibatkan satu kerusi bagi memberi peluang kepada orang ramai menyumbang mengikut kemampuan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Hotline 019-6846296 atau berbuat demikian melalui akaun CIMB 8602399702 (YSNS – Dar Al Baidha’).

As Sofa merupakan sebuah gerakan pendidikan Islam berteraskan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah yang diasaskan oleh Datuk Dr Muhammad Fuad Kamaludin, seorang tokoh ulama dan pendakwah yang dikenali dalam dunia dakwah Nusantara.

Pengasas Yayasan Sofa, Datuk Dr Muhammad Fuad Kamaludin

Institusi pendidikan As Sofa berkembang melalui rangkaian pendidikan bersepadu yang merangkumi pendidikan tahfiz dan turath Islam; pendidikan akademik moden, pembinaan sahsiah dan akhlak serta pembentukan kepimpinan dan dakwah.

Pendekatan pendidikan As Sofa menekankan keseimbangan antara ilmu agama, ilmu dunia, akhlak, spiritual dan tanggungjawab sosial dengan matlamat melahirkan generasi ulama intelektual dan profesional berteraskan nilai Islam.

Penubuhan Kolej Islam As-Sofa telah bermula semenjak Julai 2011 dan telah berdaftar secara rasmi di bawah Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Ia mula beroperasi sepenuhnya pada 28 Oktober 2012 dengan matlamat bagi menyediakan laluan pendidikan tinggi Islam yang tersusun, sistematik dan berwibawa sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan Islam bersepadu di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button