SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meluahkan rasa terkejut apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak menarik sokongan terhadapnya kerana menurutnya perbincangan mengenai perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini telah diadakan bersama wakil parti berkenaan.
Bagaimanapun beliau menegaskan pentadbiran negeri akan terus berjalan seperti biasa walaupun berdepan perkembangan tersebut.
Menurutnya, empat Exco daripada UMNO sendiri pernah menemui beliau bagi memohon supaya persidangan DUN ditangguhkan dan kerajaan negeri telah bersetuju dengan permintaan tersebut.
“Saya terperanjat apabila membaca surat yang dihantar kepada Pejabat Setiausaha DUN kerana perkara ini telah dibincangkan sebelum ini.
“Bukan saya cerai, UMNO yang ceraikan saya, nampak macam talak tiga,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasminya hari ini.
Tambah beliau, sekiranya UMNO benar-benar hilang kepercayaan terhadapnya, perkara itu sepatutnya dibawa secara rasmi melalui usul dalam persidangan DUN.
Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan kedudukan empat Exco UMNO secara automatik dianggap kosong, namun keputusan lanjut mengenainya masih belum dibuat.
Beliau turut menegaskan bahawa pentadbiran negeri akan diteruskan sehingga terdapat keputusan jelas berhubung situasi semasa atau kemungkinan usul undi tidak percaya dibentangkan dalam sidang DUN akan datang.