Anak mangsa jatuh gaung luah kesedihan, video tular di TikTok
KUALA LUMPUR – Anak bongsu kepada Allahyarham Hassan Shazali, 52, seorang guru yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung berkongsi kesedihan kehilangan bapanya sekali gus tular di TikTok.
Melalui akaun @Aufaaaar_ di platform tersebut, beliau menyifatkan kehilangan bapanya memberi kesan kepada seluruh keluarga mereka.
“Hassan Shazali, seorang insan bergelar abah pada keluarga kami, abah seorang insan yang penuh tanggungjawab dan seorang bapa kepada kami lima beradik.
“Adik takkan lupakan saat ini abah. Adik kehilangan seorang ayah yang baik dan amanah kepada keluarga mahupun masyarakat, mungkin Allah lebih sayangkan abah.
“Adik tahu semua yang berlaku ada hikmah tapi kehilangan abah sangat sakit bagi adik dan keluarga. Takkan ada pengganti bagimu,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Beliau turut mendoakan agar arwah tenang di alam barzakh dan menunggu dirinya kelak.
“Moga abah tenang di alam sana. Abah tunggu adik kat sana tau. Adik sayang sangat abah. Babai abah untuk kali yang terakhir,” katanya.

Dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu di Kilometer (KM) 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah di Hulu Terengganu itu, Allahyarham Hassan meninggal dunia bersama seorang pengusaha kantin, Suzaimah Che Azis, 34.
Pasangan itu dikatakan bakal berkahwin pada 25 Disember ini.
Menjengah ke ruang komen, ramai pengguna TikTok turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga tersebut.
“Salam takziah dik, Arwah abah mengajar saya dari darjah 1 sampai darjah 5 di SK Chalil. Arwah seorang yang ceria dan sentiasa tersenyum. Selalu berdoa untuk arwah abah. Sampaikan salam untuk mak,” komen seorang netizen.
“Orang menilai daripada apa yang mereka tahu sahaja. Mak ayah yang membesarkan kita, hanya kita yang tahu baik buruk mereka,” komen @Dessertpasirmaskb pula.
“Apa pun pandangan orang terhadap arwah ayahmu, arwah tetap meninggal hari Jumaat. Hari yang penuh kemuliaan. Akak yakin banyak jasa arwah terhadap keluarga adik,” komen @Qa.
Video tersebut setakat ini telah meraih 850,900 tontonan, 29,000 tanda suka, 1000 komen dan 1775 perkongsian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








