BERITA SEMASA

Lokasi pelancong Australia jatuh gaung di Gunung Santubong dikenal pasti

KUCHING – Lokasi seorang wanita warga Australia yang dilaporkan terjatuh ke dalam gaung di Gunung Santubong, di sini semalam, berjaya dikenal pasti oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Mangsa, Belinda Lapier dipercayai tersasar dari laluan pendakian asal sebelum terjatuh di kawasan F7 gunung berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan mangsa kira-kira pukul 10.30 pagi selepas berkomunikasi dengan memanggil namanya.

Namun, usaha menyelamat berdepan kesukaran berikutan laluan ke lokasi mangsa yang sangat mencabar.

“Pasukan SAR sedang menilai kaedah paling sesuai untuk menurunkan anggota ke dalam gaung.

“Kecerunan dianggarkan hampir 90 darjah selain dipenuhi halangan seperti batu besar dan pokok tumbang,” katanya memetik laporan BH Online.

Dalam kejadian itu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.20 malam semalam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.

Sebaik tiba di kaki gunung pada pukul 9.43 malam, renjer hutan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika menuruni laluan.

BACA JUGA:

Pelancong Australia hilang di Gunung Santubong, operasi SAR berdepan laluan sukar

Terdahulu sekitar pukul 5 petang, mangsa masih dapat dihubungi namun lokasi tepatnya tidak dapat dikenal pasti.

Operasi SAR kemudian dijalankan di sekitar kawasan F7 dengan kerjasama polis dan renjer hutan, tetapi pencarian awal sehingga lewat malam tidak berhasil sebelum usaha dialihkan ke kawasan kebun berhampiran.

Mangsa sekali lagi berjaya dihubungi pada pukul 12.48 tengah malam dan memberikan petunjuk lokasi terkininya.

Susulan itu, sepasukan anggota bomba, polis dan renjer hutan bergerak ke lokasi melalui laluan luar trek selepas mangsa dipercayai menyimpang daripada laluan asal.

Operasi terpaksa dihentikan sementara pada pukul 3.30 pagi berikutan keadaan gelap dan laluan berbahaya sebelum disambung semula pagi ini.

Setakat ini, operasi SAR membabitkan 11 anggota bomba dengan bantuan polis serta renjer hutan bagi usaha membawa mangsa keluar dari kawasan gaung tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button