
Kementerian Digital komited dalam transformasi perkhidmatan digital
PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Digital akan melaksanakan transformasi penyampaian perkhidmatan digital secara bersepadu kerajaan berdasarkan pengalaman pelanggan melalui konsep Digital First.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, anjakan baharu itu akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini.
Beliau berkata, pendekatan terkini itu akan memberikan nilai tambah kepada empat kumpulan sasar kerajaan iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan penjawat awam.
“Lonjakan perubahan ini telah mengambil kira trend pencapaian semasa pendigitalan sektor awam yang diukur melalui Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.
“Pelan ini dibangunkan pada tahun 2021 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, yang kini dikenali sebagai Jabatan Digital Negara.
“Sehingga Disember 2023, pencapaian pelan strategik tersebut adalah mengikut jadual yang ditetapkan iaitu sebanyak 57 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind berkata, bagi mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang tempoh akhir pelan tersebut pada tahun 2025, Kementerian Digital beriltizam untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital secara bersepadu, dipercayai dan selamat.
Usaha itu juga diharap dapat menambahbaik mutu penyampaian digital kerajaan sebagai tuan rumah penganjuran ASEAN pada tahun depan.
Serentak dengan itu, Gobind turut melancarkan enam teras Aspirasi Strategi Digital First (ASDF) iaitu iaitu Minda Digital, Berpacukan data, Berpaksikan Rakyat, Rekabentuk Berteraskan Keselamatan, Tadbir Urus Digital serta Bakat dan Kemahiran.
Dalam pada itu, orang ramai dijemput mengemukakan cadangan penambahbaikan perkhidmatan digital kepada Jabatan Digital Negara melalui pautan www.jdn.gov.my atau www.mydigital.gov.my sehingga 6 Julai 2024 ini.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








