Tourism Malaysia komited perkasa pelancongan domestik menerusi Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025
KUCHING – Tourism Malaysia komited memperkasa sektor pelancongan domestik melalui penganjuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 Sarawak yang berlangsung di Plaza Merdeka di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Rafidah Idris berkata, karnival itu bukan sekadar platform promosi pelancongan, tetapi juga inisiatif penting dalam menyemarakkan semangat melancong di dalam negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Tourism Malaysia sentiasa komited memperkukuh pelancongan domestik secara inklusif dan berterusan.

“Sarawak mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan utama dengan keunikan budaya, warisan serta keramahan masyarakatnya yang menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan karnival berkenaan.
Menurut Rafidah, Tourism Malaysia mahu menjadikan penganjuran karnival itu sebagai wadah memperkenalkan produk pelancongan baharu, memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak serta membantu merancakkan ekonomi setempat.
“Karnival ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri pelancongan, tetapi turut menyumbang kepada peluang perniagaan kecil dan sederhana serta komuniti tempatan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sarawak, pemain industri serta penggiat pelancongan tempatan atas sokongan padu terhadap usaha Tourism Malaysia memperkukuh sektor tersebut.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, promosi pakej pelancongan, jualan produk tempatan dan sesi interaktif bersama pengunjung.
Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 merupakan antara program utama Tourism Malaysia dalam memperkukuh promosi pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








