‘Selepas meneliti semua aspek, kami putuskan untuk tidak menyiarkan episod tersebut’
KUALA LUMPUR – Pengendali Apa Cerita? Podcast, Asyraf Khalid memutuskan untuk tidak menyiarkan episod terbaharu program itu susulan tekanan diterima berhubung jemputan ke atas individu yang sedang dalam siasatan polis.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram, pihak produksi memohon maaf atas segala kesulitan dan menegaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Kami mendengar segala maklum balas yang diberikan dan menyedari ramai yang berasa kurang senang dengan episod yang dirancang untuk disiarkan.
“Setelah membuat pertimbangan yang teliti, kami mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan episod tersebut. Kami percaya itu adalah keputusan paling wajar,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, aktivis kemasyarakatan merangkap penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, turut menyelar tindakan Asyraf kerana menjemput individu yang didakwa mencederakan beberapa pihak dan mengugut keluarganya.
Caprice turut memuat naik beberapa gambar kecederaan yang didakwa dialami mangsa serta tangkap layar mesejnya bersama Asyraf.
Sementara itu, netizen memenuhi ruangan komen laman sosial Apa Cerita? Podcast bagi meluahkan rasa tidak puas hati selepas Asyraf memuat naik klip pendek memaparkan wajah kabur tetamu undangan tersebut, sekali gus mempersoalkan motif sebenar jemputan itu.
Asyraf merupakan pengasas Apa Cerita? Podcast dan suami kepada pelakon dan usahawan, Tya Ariffin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








