BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Kubur Zara Qairina akan digali semula, AGC arah siasatan menyeluruh

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama.

AGC dalam kenyataan memaklumkan, arahan itu antara beberapa langkah yang diambil bagi membolehkan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut AGC, penggalian semula itu adalah bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan ke atas jenazah berkenaan.

Jabatan itu turut menjelaskan keperluan siasatan lanjut diambil oleh PDRM selepas meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh pihak polis berhubung kes berkenaan.

“Ia setelah AGC meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, media melaporkan ibu kepada pelajar tersebut, Noraidah Lamat, 45, memohon agar kubur anaknya digali semula bagi mendapatkan keadilan dan penjelasan sebenar punca kematian.

Isnin lalu, AGC memaklumkan pihaknya menerima laporan penuh siasatan awal pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya, sebelum diserahkan semula kepada polis untuk tindakan lanjut.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, laporan berkenaan dikembalikan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan dilengkapkan sepenuhnya.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button