JENAYAH & MAHKAMAH

Proses bedah siasat Zara Qairina dilaksana secara telus – Peguam

KOTA KINABALU – Proses bedah siasat terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE1), di sini hari ini dilaksanakan secara telus dan akan dibentangkan di mahkamah sekiranya inkues diadakan.

Peguam yang mewakili keluarga, Shahlan Jufri berkata, pihak keluarga berkemungkinan akan memohon satu inkues diadakan sebaik sahaja siasatan polis selesai, lapor Daily Express.

Shahlan yang turut serta dalam proses berkenaan sebagai pemerhati berkata, pasukan perubatan turut menyatakan rasa terkejut dengan keadaan tubuh Zara yang masih terpelihara, dan memberi taklimat kepada keluarga sejurus selepas prosedur selesai.

Pemeriksaan itu berlangsung dari pukul 11.30 pagi hingga 7.30 malam tanpa henti, diketuai pakar patologi forensik Hospital Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun.

Difahamkan, laporan awal bedah siasat berkenaan dijangka siap dalam tempoh seminggu, manakala keseluruhan proses mungkin mengambil masa sehingga dua bulan.

Jenazah Zara dibawa keluar dari Jabatan Forensik, HQE1 pukul 9.20 malam tadi menuju ke ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang untuk dikebumikan semula.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button