
PEJUANG tuntut jaminan keselamatan buat Yasmin, saksi utama kes kematian Zara Qairina
KUALA LUMPUR — Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menggesa pihak berkuasa agar segera memberikan jaminan keselamatan sepenuhnya kepada Yasmin yang merupakan saksi utama dalam kes kematian melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuannya, Noor Zarina Nordin, pelajar itu telah menunjukkan keberanian luar biasa apabila tampil ke hadapan dengan mendedahkan maklumat penting berkaitan insiden tragis yang menimpa sahabat baiknya itu.
“Pendedahan yang dibuat Yasmin telah membuka ruang kepada siasatan yang lebih telus dan menyeluruh. Ia bukan sahaja membongkar kebenaran yang sebelum ini disembunyikan, malah turut mencetuskan gelombang desakan untuk keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keberanian seperti ditunjukkan Yasmin perlu dihargai dan bukannya dihukum.
“PEJUANG Wilayah Persekutuan berdiri teguh bersama Yasmin. Kami menuntut agar pihak berkuasa segera mengambil langkah konkrit bagi memastikan keselamatan beliau terjamin daripada sebarang bentuk ugutan, intimidasi atau ancaman,” katanya lagi.
Dalam masa sama, PEJUANG turut menyeru masyarakat agar bersama-sama mempertahankan hak saksi seperti Yasmin yang memainkan peranan penting dalam menegakkan keadilan dan membongkar ketidakadilan.
“Kami melihat kes Zara bukan sekadar tragedi peribadi tetapi mencerminkan potensi keruntuhan nilai keadilan sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.
“Keberanian Yasmin membawa harapan agar kebenaran tidak terus dikuburkan,” katanya.
Kes Zara sebelum ini mencetuskan reaksi meluas rakyat Malaysia, khususnya di media sosial dengan pelbagai pihak tampil menuntut pembelaan sewajarnya terhadap insiden buli yang membawa kepada kematian remaja berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















