Ibu tuntut gali semula kubur anak, mahu bedah siasat dijalankan kes Zara Qairina
KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, mahu kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Noraidah Lamat, berkata permintaan itu dibuat selepas menyedari banyak persoalan dan dakwaan timbul berkait punca kematian anak tunggalnya yang dipercayai berlaku pada 16 Julai lalu.
“Saya akui terlalu terkejut pada waktu itu, fikiran saya buntu. Tiada siapa menyarankan bedah siasat ketika itu dan saya cuma fikir mahu kebumikan jenazah segera.
“Tetapi selepas mendengar pelbagai cerita dan melihat kejanggalan, saya tak boleh berdiam diri.
“Saya mahu tahu punca sebenar kematian anak saya. Saya sudah lantik dua peguam untuk bantu permohonan gali semula kubur Zara dan buat bedah siasat,” katanya memetik laporan BH online.
Jenazah Zara dikebumikan pada malam 17 Julai di Sipitang selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, akibat kecederaan dipercayai berpunca daripada insiden jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kini di peringkat akhir dengan lebih 60 saksi terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah telah dirakam keterangan.
“Tumpuan juga diberikan kepada tiga individu yang dikenali dengan nama panggilan ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.
“Kita tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dan siasatan masih dijalankan dengan kerjasama Bukit Aman,” katanya lagi.
Menurut Noraidah, beliau tidak mahu kes kematian anaknya dijadikan bahan spekulasi sehingga menjejaskan nama baik keluarga.
“Saya tak mahu dengar andaian lagi. Saya perlukan kepastian dan bukti melalui saluran yang sah.
“Kalau tiada apa-apa berlaku, saya reda. Tapi kalau ada, saya mahu keadilan ditegakkan,” katanya lagi.
Noraidah berkata, Zara pernah mengadu kepada guru kaunseling mengenai gangguan seksual oleh seorang pelajar lelaki, namun pihak sekolah memaklumkan tindakan telah diambil dan insiden tidak berulang.
Beliau turut kesal dengan dakwaan yang cuba mengaitkan sejarah persekolahan anaknya dan latar belakang keluarga sebagai punca kejadian.
“Zara anak yang baik dan layak berada di sekolah itu. Dia dikenali sebagai pelajar pintar dan ceria.
“Jangan burukkan namanya dengan cerita yang tidak berasas,” katanya lagi.
Kes kematian Zara Qairina mengundang simpati masyarakat dan menjadi perhatian banyak pihak yang menantikan hasil siasatan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








