Peguam keluarga Zara Qairina hargai keputusan AGC jalankan inkues
CYBERJAYA – Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di atas keputusan untuk menjalankan inkues bagi mencari punca kematian pelajar berkenaan.
Peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, keputusan mengadakan inkues selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah itu merupakan salah satu daripada permohonan yang terkandung dalam surat kepada AGC pada 5 Ogos lalu.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah membuat keputusan untuk menjalankan inkues bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Dengan keputusan itu, semua perkara yang kami pohon daripada Jabatan Peguam Negara dalam surat kami bertarikh 5 Ogos 2025 telah dipenuhi.” kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak peguam turut berkata, mereka akan memohon dengan koroner supaya turut diberi peluang untuk terlibat dalam prosiding inkues nanti.
“Kami berharap prosiding inkues akan berjalan lancar dan tamat dalam masa yang pendek.
“Keadilan bagi Zara adalah matlamat utama kami dalam semua tindakan yang kami lakukan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya pada pukul 4 pagi dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1), Kota Kinabalu namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.
Sabtu lepas, kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan satu bedah siasat dilaksanakan ke atas jenazahnya.
Proses bedah siasat itu dilakukan di HQE1 berlangsung selama lapan jam.
Selesai prosedur tersebut, jenazah kemudian dibawa kembali ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi untuk dikebumikan semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





