BERITA SEMASA

Pertubuhan tampil jelaskan kedudukan Tabung #JusticeForZara

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah hari ini tampil menjelaskan kedudukan kewangan Tabung #JusticeForZara bagi menangkis dakwaan salah guna kuasa atau penyelewengan dana sumbangan orang ramai.

Menurut Setiausahanya, Sitti Fhaizah Mukthar, tabung itu diwujudkan sepenuhnya bagi membantu keluarga serta menyokong proses prosiding inkues sedang berlangsung.

“Kami dengan tegas menafikan sebarang salah guna atau penyelewengan dana. Semua pengurusan kewangan dilakukan mengikut prosedur pertubuhan dan peraturan sah yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, semua kutipan dana direkodkan dengan teliti dan digunakan hanya untuk tujuan dinyatakan, termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan keluarga dan pakar serta keperluan mesyuarat dan operasi.

Katanya, setiap perbelanjaan dilakukan disertakan resit dan dokumen rasmi bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya.

Jelasnya, tabung itu yang dibuka dari 8 hingga 12 Sept lalu itu berjaya mengumpul sebanyak RM255,016.27.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM162,155.87 dibelanjakan atas pelbagai keperluan berkaitan kes, menjadikan baki semasa tabung setakat semalam ialah RM94,096.97.

Menyentuh pecahan perbelanjaan, beliau berkata, kos terbesar dicatatkan adalah khidmat kepakaran dan konsultasi profesional yang menelan belanja RM82,747.35, diikuti kos logistik dan perjalanan.

Ia membabitkan perbelanjaan untuk perjalanan udara dan darat bagi pakar serta pengangkutan keluarga berkaitan prosiding berjumlah RM40,435.54, selain beberapa perbelanjaan lain seperti penginapan (RM22,119.28) serta dokumentasi dan komunikasi (RM12,497).

Menurutnya, semua maklumat serta rekod berkaitan Tabung #JusticeForZara itu telah didedahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi tujuan semakan dan pemantauan.

“Pihak pertubuhan juga menyuarakan kesediaan terus bekerjasama dengan pihak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tadbir urus telus dapat dikekalkan.

“Laporan kewangan tabung ini juga terbuka untuk disemak pihak berkuasa mahupun penderma yang berminat mengetahui butiran lanjut aliran dana,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button