JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengerusi SAC Bank Negara mengaku tidak bersalah pecah amanah RM10.55 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan berjumlah RM10.55 juta.

Mohd Daud, 62, bersama seorang lagi pengarah syarikat, Datuk Norliza Tajudin, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham, minta dibicarakan,” kata kedua-dua tertuduh, memetik laporan BH Online.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai ejen merangkap pengarah dan pemegang saham syarikat perdagangan, Energy Eco Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik beberapa individu, koperasi dan syarikat.

Antara dana yang terbabit ialah milik Moideen Kunjayu sebanyak RM600,000; Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (RM1.95 juta); bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (RM2 juta) serta Myad Kapital Sdn Bhd berjumlah RM6 juta.

Mereka didakwa secara bersama menggunakan wang berkenaan secara tidak jujur dengan melanggar syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Pendahuluan Pemegang Saham (SAA).

Perjanjian bertarikh antara 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024 itu menetapkan dana terbabit hanya boleh digunakan bagi pembiayaan pembinaan dan pengembangan kapasiti pengeluaran perniagaan pembuatan sarung tangan syarikat serta mematuhi prinsip syariah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad cawangan Bangsar Shopping Centre, Jalan Maarof, Bangsar antara 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta denda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button