JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas juruwang didakwa pecah amanah, salah guna pin Touch ‘n Go eWallet lebih RM500,000

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruwang pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan penyalahgunaan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet dengan nilai melebihi RM500,000.

Tertuduh, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa menyalahgunakan mesin terminal pin milik pasar raya tempatnya bekerja di Kepong dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus ke akaun miliknya antara 7 Januari 2023 hingga 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, memetik laporan Kosmo! Online.

Bagi 12 lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke akaun eWallet milik keluarga dan rakan-rakannya dengan menebus pin yang diperoleh secara salah, antara Januari 2023 hingga Ogos 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan, manakala tertuduh diwakili peguam Ainul Azwan @ Ainul Azirahman Ainul Jamal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 November ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button