Perbicaraan Vivy Yusof, suami bermula April 2026
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 hari bermula April tahun depan bagi perbicaraan kes pecah amanah membabitkan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar.
Mereka berdepan pertuduhan menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta yang didakwa berlaku enam tahun lalu.
Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 13 hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026 selepas kedua-dua pihak bersetuju di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober depan, memetik laporan Metro Online.
Dalam prosiding hari ini, pasangan itu tidak hadir kerana diberi pengecualian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam, M Athimulan.
Pada 5 Disember tahun lalu, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan tersebut ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 21 Ogos 2018 apabila sejumlah RM8 juta dipindahkan dari akaun syarikat ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Pertuduhan utama dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari lalu, mereka sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta syarikat secara tidak jujur yang membawa hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








