UMNO Sepang desak kerajaan perjelas isu Titah Adendum, kaji semula SST dan tarif elektrik
CYBERJAYA – UMNO Bahagian Sepang menggesa kerajaan memberikan ketelusan penuh dalam isu adendum membabitkan kuasa pengampunan, selain mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik yang didakwa membebankan rakyat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said berkata, tiga ketetapan utama telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang yang berlangsung semalam, susulan keresahan rakyat terhadap beberapa perkembangan semasa.
Menurut beliau, antara perkara utama yang diketengahkan ialah isu Titah Adendum yang merujuk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
“Kami minta pihak kerajaan memberi ketelusan di dalam proses adendum ini kerana rakyat melihat melalui titah Tuanku Agong ia merupakan kuasa preventif.
“Jadi, kita minta dipercepatkan agar kerajaan ini dilihat tidak mencampuri urusan kehakiman dan penghakiman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di sini hari ini.
Selain itu, isu kenaikan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus dan 10 peratus bagi sesetengah kategori turut menjadi antara keluhan utama rakyat.
BACA : Titah Adendum: Mahkamah Persekutuan dengar rayuan Peguam Negara hari ini
Justeru, UMNO Sepang menggesa kerajaan mempertimbangkan semula skop pengecualian cukai khususnya terhadap barangan keperluan.
“Ada barangan keperluan yang masih dikenakan cukai walaupun ia penting kepada rakyat. Bahkan, ada barang import seperti buah-buahan yang jauh lebih murah berbanding produk tempatan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan yang memberikan pelepasan cukai kepada buah epal baru-baru ini, namun menyifatkan masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan bagi meredakan beban kos sara hidup.
Satu lagi perkara yang turut disentuh ialah isu tarif elektrik yang menurutnya wajar dikaji semula memandangkan rakyat kini turut berdepan kenaikan kos akibat SST.
“Kami minta kerajaan berunding dengan penyedia tenaga agar tidak membebankan rakyat. Ketika SST dinaikkan, jangan ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik,” ujarnya.
Tambah Noorazli, UMNO Sepang berharap kerajaan mendengar rintihan rakyat dan mengambil serius segala masalah yang dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








