
Titah Adendum: Mahkamah Persekutuan dengar rayuan Peguam Negara hari ini
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini akan mendengar rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang akan mengemukakan tujuh persoalan berhubung kes semakan kehakiman membabitkan Titah Adendum.
Rayuan berkenaan bakal didengar panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan SriHasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Semalam, panel hakim secara sebulat suara menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak terhadap rayuan Peguam Negara dalam kes semakan berhubung Titah Adendum itu.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Permohonan tersebut bertujuan memaksa kerajaan atau enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Titah berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan menetapkan pendengaran rayuan selama dua hari bermula semalam.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |