UMNO sedia anjur pertemuan bersama PM, bincang isu Titah Adendum
PONTIAN – UMNO menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah kepada pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama parti itu bagi membincangkan isu berkaitan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ruang di Menara Dato Onn sentiasa terbuka bagi sebarang perbincangan khususnya yang melibatkan kepentingan bekas Presiden parti tersebut.
Sambil menyambut baik kesediaan Perdana Menteri, beliau menyifatkan langkah itu mencerminkan keprihatinan Anwar terhadap suara akar umbi UMNO selaku parti komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Paling penting kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dengan pemimpin kanan UMNO adalah amatlah dihargai dan dialu-alukan.
“Ini kerana (desakan ketua bahagian UMNO) itu mewakili ahli akar umbi yang menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada bekas pimpinan kami.
“Mereka bukan membawa suara individu tetapi membawa suara akar umbi parti sekali gus mewakili suara terbanyak.
“Oleh itu, jika (Perdana Menteri) memerlukan Ibu Pejabat UMNO untuk mengatur dan menguruskan (pertemuan) kami tidak ada masalah dan bersedia untuk melakukannya dan membuka pintu kami,” katanya lapor TV3.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Tanjung Piai, di sini hari ini.
Baca juga : 160 ketua UMNO bahagian sepakat mahu PM laksana Titah Adendum
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan bersama pimpinan UMNO serta memberi penjelasan berhubung isu Titah Adendum yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut menegaskan beliau tidak boleh mendahului proses perundangan memandangkan isu berkenaan telah dirujuk kepada pihak kehakiman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








