UMNO beri amaran keras, sekutu jangan sentuh tiga garis merah – Tok Mat
KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan tiga ‘garis merah’ yang menjadi teras perjuangan parti itu, termasuk menegur mana-mana pihak, sama ada rakan atau sekutu politik sekiranya perkara berkenaan disentuh.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiga ‘garis merah’ berkenaan ialah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera; kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja Melayu.
“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh.
“Jangan sesekali melanggar garis merah ini,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan (WTC) Kuala Lumpur di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Mohamad menegaskan agar parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan tidak memandang rendah keupayaan UMNO atau menganggap parti itu sudah hilang ‘taring’ hanya kerana bersama dalam Kabinet.
“Kita sedia bekerjasama demi rakyat dan negara, tetapi jika tangan gatal mula sentuh agama, bangsa dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada,” katanya.
Mohamad turut menolak anggapan kononnya UMNO adalah parti ‘pak turut’ dengan menegaskan pemimpin parti dalam kerajaan sedang dan sudah mempertahankan prinsip berkenaan ketika berada dalam Kabinet.
“Jangan siapa-siapa ingat UMNO ini ‘melukut di tepi gantang’. UMNO adalah penyemak imbang yang paling efektif dari dalam kerajaan.
“Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja,” katanya sambil menegaskan prinsip parti itu akan kekal bersama UMNO.
Buktinya, Mohamad berkata, pimpinan UMNO dalam kerajaan telah melakukan tiga perkara yang disifatkannya sebagai ‘perisai Melayu’.
Perkara itu termasuk cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar ditangguhkan; menghalang cadangan pilihan raya kerajaan tempatan serta memperkasa agenda Bumiputera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








