
Tidak timbul isu pampasan, tuntutan tanah gantian – Penyelaras DUN Dengkil
DENGKIL – Tidak timbul isu pampasan atau menuntut tanah gantian dalam kes pencerobohan tapak masjid Dengkil yang dimiliki oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Perkara itu ditegaskan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said ketika ditemui Malaysia Tribune di pejabatnya tengah hari tadi.
“Pencerobohan tetap berlaku, cuma tak ada yang mengatakan pengusaha yang menceroboh ini enggan keluar atau inginkan pampasan dan sebagainya.
“Pihak pejabat tanah telah mengadakan rundingan berulang kali dan pengusaha tersebut telah bersetuju untuk keluar dari tapak itu sebaik isu dengan Orang Asli diselesaikan. Maksudnya, bila sampai masa mereka akan keluar,” jelasnya.

Menurut Noorazli lagi, pembinaan masjid Dengkil tertangguh sejak lebih sedekad lalu kerana beberapa isu tertunggak khususnya melibatkan tuntutan hak tanah oleh komuniti Orang Asli.
“Tanah seluas 4 hektar tersebut asalnya milik JAIS dan telah diwartakan sebagai tapak masjid sejak 2012. Namun, ia turut melibatkan tanah rayau dan kawasan perkuburan Orang Asli, menyebabkan proses pembinaan tidak dapat diteruskan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa mesyuarat dan lawatan tapak telah dijalankan pagi tadi melibatkan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Sepang serta JAIS.
Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM14 juta telah disediakan JAIS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pembinaan masjid baharu itu, namun pelaksanaannya tertakluk kepada persetujuan daripada komuniti Orang Asli yang terlibat.
“Jadi, fokus utama sekarang ialah menyelesaikan isu dengan masyarakat Orang Asli secara berperingkat. Kita akan terus berbincang dengan tok batin dan wakil mereka supaya kata sepakat dapat dicapai,” tambahnya.
Selain itu, Norazli turut menjelaskan isu pencerobohan tanah oleh seorang pengusaha ternakan lembu yang turut membina rumah kediaman dan tempat ibadat peribadi di kawasan berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa tempat ibadat yang dibina pengusaha terbabit bukanlah kuil terbuka, sebaliknya ruang ibadat peribadi dalam kediamannya yang tidak dibuka kepada umum.
“Salah faham ini perlu diperbetulkan. Tidak sama sekali ia seperti isu kuil JAKEL yang berlaku baru-baru ini.
Norazli turut menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat, termasuk JAIS, pejabat tanah dan agensi berkaitan sedang memainkan peranan masing-masing ke arah penyelesaian menyeluruh.
“Pusat Khidmat DUN Dengkil akan terus bertindak sebagai pemudah cara antara masyarakat dan agensi kerajaan bagi memastikan pembinaan Masjid Dengkil berjalan lancar, tertib dan menghormati sensitiviti semua pihak,” ujarnya.
Dengan penyelesaian secara berperingkat ini, beliau yakin pembinaan masjid yang dinanti-nantikan penduduk setempat akhirnya dapat direalisasikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








