Guna saluran undang-undang, jangan ambil tindakan sendiri dalam isu pencerobohan tanah – Azalina
PUTRAJAYA – Pemilik tanah yang berdepan isu pencerobohan diingatkan supaya tidak bertindak sendiri, sebaliknya menggunakan saluran undang-undang yang tersedia bagi mengelakkan ketegangan atau insiden tidak diingini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang pertikaian hak milik atau bantahan terhadap pembinaan di atas tanah yang didakwa diceroboh perlu direkodkan secara rasmi.
Menurut beliau, bantahan boleh dibuat melalui laporan polis atau notis guaman bagi memastikan proses siasatan dan tindakan lanjut dapat dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
“Pendaftaran bantahan mesti direkodkan, sama ada laporan polis atau menggunakan surat peguam. Saya yakin sistem kita masih tertib, tetapi ia perlu diikuti mengikut prosedur.
“Jika ambil tindakan sendiri, kita bimbang perkara itu menjadi lebih buruk, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu kepercayaan dan agama yang sensitif,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Kedua-Fast Track 2026, di sini hari ini.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menggesa pemilik tanah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dijalankan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) juga bersedia menawarkan perkhidmatan mediasi kepada pihak yang terlibat dalam pertikaian.
“Tidak semestinya semua kes perlu dibawa ke mahkamah. Melalui mediasi, penyelesaian boleh dicapai dengan lebih cepat dan kosnya juga mungkin lebih rendah berbanding menggunakan khidmat guaman swasta,” katanya memetik laporan Bernama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








