Ceroboh tanah Sultan Pahang: 21 Orang Asli ditahan
KUANTAN – Seramai 21 Orang Asli ditahan polis kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari Balai Polis Kuala Rompin berkenaan isu pencerobohan tersebut.
Menurutnya, penahanan itu termasuk 17 wanita berusia antara 26 tahun hingga 60 tahun.
“Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan tanah milik baginda.
“Beliau melaporkan berkaitan sekumpulan Orang Asli menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di kawasan ladang milik baginda seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.
“Bagi membantu siasatan, seramai empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan di dalam kawasan ladang milik baginda kerana disyaki terbabit menceroboh tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Dalam kes ini, polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah. Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.
“Pihak polis menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








