Reformasi sistem kehakiman perlu dilaksana segera – Azalina
PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah awal ke arah melaksanakan reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin integriti institusi kehakiman dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses pelantikan hakim.
Perkara itu dibincangkan dalam satu pertemuan hari ini antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bersama Senator Rita Sarimah Patrick Insol, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara, dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat.
Menurut Azalina, perbincangan tersebut memberi fokus kepada keperluan memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman, selain menjamin proses pelantikan kehakiman dilaksanakan secara lebih telus dan diyakini.
“Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kajian perbandingan awal berhubung sistem pelantikan kehakiman di beberapa negara seperti United Kingdom, India, Australia dan Singapura.
“Kajian ini akan membantu kita menilai secara objektif dan berasaskan bukti mengenai keperluan reformasi dalam sistem sedia ada, serta menyesuaikan amalan terbaik mengikut keperluan dan konteks negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kajian tersebut turut bertujuan mengenal pasti model pelantikan kehakiman yang berkesan serta merangka cadangan penambahbaikan yang sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri juga mengalu-alukan pandangan dan maklum balas orang awam sebagai sebahagian daripada pendekatan inklusif dalam usaha reformasi ini.
“Setiap pandangan dan suara rakyat akan diambil kira sebelum hasil kajian ini dibentangkan kepada jemaah menteri.
“Komitmen kerajaan jelas, iaitu memastikan segala bentuk reformasi dilakukan secara telus, menyeluruh dan berdasarkan fakta yang kukuh,” katanya lagi.
Azalina turut berkata, kerajaan kekal komited dalam memperkukuh sistem kehakiman negara selaras dengan aspirasi rakyat untuk sebuah institusi kehakiman yang bebas, berintegriti dan dipercayai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








