BERITA SEMASA

Pemilik tanah diceroboh struktur haram tidak boleh ambil tindakan sendiri, perlu dapatkan perintah mahkamah – Amirudin

SHAH ALAM – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor menetapkan beberapa ketetapan bagi menangani isu rumah ibadat tidak sah susulan insiden di Rawang yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat MKN Negeri Selangor yang dipengerusikannya bersama Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis dan Pegawai Daerah.

Mesyuarat MKN Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, isu rumah ibadat yang menimbulkan pelbagai pandangan perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama.

“Pihak polis sedang menyiasat insiden yang berlaku di Rawang dan tindakan akan diambil mengikut proses undang-undang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, terdapat dua isu utama dikenal pasti iaitu rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri dan di atas tanah milik persendirian.

“Bagi kes melibatkan tanah kerajaan, beliau mengarahkan supaya prosedur sedia ada dipertingkatkan termasuk tindakan segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa LIMAS,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi rumah ibadat di atas tanah persendirian, pemilik tanah perlu melalui proses undang-undang dengan melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan dilaksanakan.

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah selaras dengan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan,” katanya lagi.

Dalam aspek keselamatan, beliau berkata, mana-mana pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan dan pembinaan tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis.

“Notis juga perlu dihantar kepada pihak terlibat dan dimaklumkan kepada Pejabat Daerah.

“Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah bagi bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pengurusan rumah ibadat, polis dan PBT untuk mencari penyelesaian munasabah,” katanya lagi.

Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, proses mahkamah perlu diteruskan oleh pemilik tanah.

Amirudin turut berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan setiap tindakan melibatkan pihak berkuasa serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button