Toyo Tires perkukuh jenama menerusi kempen Goal Fest 2026 sempena Piala Dunia
KUALA LUMPUR – Toyo Tires terus optimis mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan menerusi pelancaran kempen Goal Fest 2026 yang menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif kepada pelanggan bersempena kemeriahan musim Piala Dunia.
Kempen tersebut dianjurkan bagi meraikan prestasi, inovasi dan ganjaran kepada pelanggan selaras dengan komitmen syarikat dalam menyediakan produk yang disesuaikan dengan keperluan mobiliti moden.
Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasaran Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Keishi Inoue berkata, inisiatif itu turut didorong oleh peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang melonjak lebih 300 peratus dalam tempoh empat tahun lalu.
Menurut beliau, perkembangan tersebut membolehkan Toyo Tires terus berada di barisan hadapan menerusi siri Proxes yang direka bagi menawarkan prestasi, keselesaan dan keyakinan ketika memandu.
“Sebagai sebahagian daripada kempen ini, kami mengetengahkan Proxes Comfort yang dilancarkan pada Januari lalu bagi melengkapkan barisan produk dengan tumpuan kepada keselesaan mewah untuk mobiliti moden.
“Bagi menyambut musim bola sepak yang meriah ini, pelanggan yang membeli mana-mana tayar daripada siri Proxes Comfort atau Open Country HT II akan menerima Botol Sukan Hidrasi Thermos Eksklusif Premium bersama pouch, selagi stok masih ada.
“Pelanggan AEON juga boleh menikmati ganjaran eksklusif daripada Toyo Tires termasuk pemeriksaan tayar enam titik secara percuma serta penjimatan 20 peratus bagi perkhidmatan penjajaran dan pengimbangan menerusi kerjasama terhad bersama pengedar terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Goal Fest 2026 di AEON Shah Alam hari ini.


Keishi berkata, Toyo Tires turut berbangga menjadi satu-satunya jenama tayar buatan tempatan yang memiliki pemahaman mendalam mengenai keadaan cuaca Malaysia serta tabiat pemanduan rakyat negara ini.
Katanya, kepakaran tempatan tersebut membolehkan syarikat membangunkan corak tayar yang benar-benar memenuhi keperluan pemandu Malaysia.
Menurut beliau, kilang Toyo Tires di Malaysia bukan sekadar pusat pembuatan, malah berfungsi sebagai platform pembangunan negara yang menjana peluang pekerjaan bermakna serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Berpaksi pada kekuatan ‘Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun’, Toyo Tires menyampaikan penyelesaian tayar yang boleh dipercayai dan disokong oleh inovasi serta kepakaran kejuruteraan Jepun bertaraf dunia, selain menawarkan produk berkualiti premium pada harga yang kompetitif dan mampu milik untuk pengguna Malaysia.
“‘Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun’ merupakan teras identiti kami. Melalui prinsip Kaizen Jepun, kami memupuk budaya yang amat menitikberatkan perincian dengan tumpuan tanpa kompromi terhadap kualiti pada setiap peringkat.
“Toyo Tires kekal komited meningkatkan piawaian industri menerusi produk yang boleh dipercayai, perkhidmatan profesional dan teknologi tayar inovatif pada harga yang mampu milik.
“Platform e-runcit utama kami, Toyo TayarTen, turut menyokong visi ini melalui Pengalaman Runcit Phygital (3E) yang menggabungkan titik sentuh mobiliti ‘ECO’, ‘E-HUB’ dan ‘EXPERT Care’ bagi menyediakan pengalaman pembelian tayar serta khidmat nasihat yang lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digital syarikat, aplikasi T-Care yang berfokus kepada pengguna akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, aplikasi tersebut akan menawarkan kemas kini masa nyata, peringatan perkhidmatan dan promosi eksklusif bagi meningkatkan penglibatan pelanggan serta kesetiaan terhadap jenama.
Selain itu, platform e-TEN untuk pengedar pula membantu meningkatkan kecekapan operasi menerusi kemudahan tempahan dalam talian 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, pemprosesan pesanan yang lebih pantas serta pengurusan inventori yang lebih cekap.
“Di Toyo Tires, kami percaya setiap pemandu Malaysia berhak menikmati ketepatan dan kebolehpercayaan kejuruteraan Jepun pada harga yang mampu dicapai, sekali gus mempertingkatkan setiap perjalanan dengan keyakinan dan keselesaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








