Polis Medan tahan rakyat Malaysia edar vape berisi cecair dadah
MEDAN – Seorang rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat mengedar rokok peranti elektronik atau vape mengandungi dadah di sini, minggu lalu.
Menurut laporan Antara News, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 35 tahun yang juga warga Indonesia.
Laporan berkenaan yang memetik Ketua Siasatan Narkotik Polrestabes Medan, Asistan Komisioner Rafli Yusuf Nugraha sebagai berkata, kedua-dua mereka ditahan di tempat letak kereta deretan kedai di Jalan Cemara, Percut Sei Tuan, daerah Deli Serdang.
“Ketika kami tangkap, keduanya sedang berada di dalam kereta. Kami menemukan 24 unit vape mengandungi dadah yang disimpan di dalam beg galas.
“Penahanan itu dilakukan susulan maklumat diterima Unit 2 Siasatan Narkotik Polrestabes Medan, berhubung kegiatan seorang lelaki dan wanita yang disyaki mengedar vape mengandungi dadah.
“Polis kemudian menjalankan siasatan sebelum mengesan dan menahan kedua-dua suspek di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.
Susulan penahanan itu, Rafli berkata, pihaknya kemudian melakukan pemeriksaan di kediaman yang disewa suspek di Jalan PWS, Kecamatan Medan Petisah.
“Dalam pemeriksaan itu, polis menemukan lima lagi unit vape dipercayai mengandungi dadah serta wang tunai RM15,000 yang disimpan di dalam peti besi juga dipercayai hasil penjualan dadah,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya juga akan berkoordinasi dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memburu individu dipercayai menjadi pembekal atau dalang kepada suspek di Malaysia.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kami akan berkoordinasi dengan polis Malaysia untuk menangkap dalang kedua-dua suspek,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








