Rakyat Malaysia ditahan bawa heroin bernilai RM2.09 juta di Macau miliki dua rekod jenayah
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang ditahan di Macau kerana disyaki menyeludup hampir tiga kilogram heroin bernilai RM2.09 juta dipercayai memperoleh bekalan dadah itu di sebuah negara jiran sebelum memasuki wilayah berkenaan menggunakan laluan penerbangan selain dari Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia pertengahan 20-an yang berasal dari Sarawak itu turut mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah di negara ini.
Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Macau berhubung penahanan suspek semalam dan siasatan kini dijalankan secara bersama dengan agensi penguat kuasa negara jiran bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit.
“Maklumat yang kita terima menunjukkan suspek bukan berlepas dari Malaysia tetapi dari negara jiran di utara. Kita juga percaya dadah yang dibawa oleh suspek diperoleh di negara jiran.
“JSJN sedang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dadah dari negara jiran memandangkan suspek menggunakan laluan lain selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tujuan penyeludupan dadah terbabit. Siasatan bersama sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang dan ahli sindiket lain yang terbabit,” katanya memetik laporan BH Online.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah narkotik, masing-masing berkaitan kesalahan memiliki dadah dan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hussein berkata, heroin yang dirampas dipercayai disembunyikan di dalam tin berlabel pes tuna yang dimasukkan bersama bungkusan biskut bagi mengaburi pihak berkuasa.
“JSJN sedang menyiasat kaitan suspek dengan sindiket dadah di negara ini, termasuk mengenal pasti dalang dan ahli sindiket di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kes ini. Siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Kelmarin, seorang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas disyaki cuba menyeludup heroin seberat 2,987 gram.
Menurut kenyataan Polis Kehakiman Macau (PJ), suspek tiba di Macau dari rantau Asia Tenggara pada lewat malam 20 Jun lalu sebelum ditahan sejurus mengambil bagasi berdaftarnya.
Pemeriksaan mendapati bagasi tersebut mengandungi 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi, dengan setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 49 tin itu tidak mengandungi pes tuna seperti yang dilabelkan, sebaliknya dipenuhi serbuk putih yang kemudiannya disahkan sebagai heroin.
PJ turut memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati lelaki terbabit direkrut oleh sindiket dadah di Malaysia untuk mengambil bekalan dadah di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludupkannya ke Macau.
Dadah itu dipercayai akan dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket, manakala suspek dijanjikan upah sebanyak RM3,000 atau kira-kira 6,000 pataca Macau selepas tugasan itu selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















