9 daripada 10 kes orang hilang ditemui semula – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sembilan daripada 10 kes orang hilang ditemui semula, sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara punca utama kes orang hilang adalah individu lari dari rumah kerana merajuk dengan keluarga atau mengikut kawan, yang menyumbang kepada sebahagian besar daripada kes ditemui semula itu.
“Bila saya sebut bagi setiap 10 laporan orang hilang, sembilan ditemui, ia sebenarnya pelbagai sebab. Pertama, dia lari dari rumah, merajuk dengan keluarga dan ikut kawan. Itu termasuk dalam kategori itulah.
“Dalam sembilan yang ditemui, ada yang ditemui hidup, ada yang ditemui mati. Tetapi ini kategori ditemui. Satu yang tidak dijumpai mewakili 10 peratus, termasuk kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Abdul Ghani bertanya sama ada kerajaan bersedia memperkenalkan undang-undang khusus berhubung kehilangan paksa, memandangkan tiada definisi jelas dalam perundangan sedia ada, sekali gus menyukarkan proses pendakwaan.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin. Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Pastor Koh, Susanna Liew
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
Mengenai mengapa keluarga Koh dan Amri menerima ganti rugi berbeza, beliau menjelaskan, keluarga Koh sebenarnya menggunakan asas tuntutan ‘forced disappearance’ (kehilangan paksa) dan tidak sama dengan keluarga Amri.
“Isteri Amri tidak menggunakan asas (tuntutan) itu dalam memulakan tindakan (perundangan) itu. Sebab itu kuantumnya berbeza,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















