
KDN meterai MoU bersama Galaxy Aerospace untuk bekalkan 4 helikopter
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd bagi memperolehi empat buah helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, helikopter tersebut akan meningkatkan kemampuan Maritim Malaysia dalam pemantauan udara dengan lebih meluas.
“Saat ini, tugas tersebut dijalankan oleh enam pesawat milik agensi, termasuk dua helikopter AW139, tiga helikopter AS365 N3 Dauphin dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis tandatangan MoU itu di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 di sini hari ini.
Katanya, helikopter itu dijangka memenuhi keperluan Maritim Malaysia dalam meningkatkan pemantauan udara serta melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) untuk jarak dan durasi yang lebih panjang.
“Helikopter AW189, dengan nilai hampir RM530 juta, dipilih kerana memiliki keupayaan transmisi utama untuk beroperasi tanpa minyak selama 50 minit dan unit kuasa tambahan yang tersedia.
“AW189 telah menjadi helikopter kategori super-medium yang paling berjaya di dunia, mampu melaksanakan pelbagai tugas termasuk CARILAMAT, bantuan bencana, pemadaman kebakaran, penguatkuasaan undang-undang, dan sokongan tenaga,” katanya lagi.
Beliau menjangkakan helikopter tersebut akan siap sepenuhnya pada tahun 2025/2026 dan ditempatkan di Sandakan, Sabah.
Dalam pada itu, MoU itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Haji Ubi bersama wakil Pengarah Urusan Galaxy Aerospace, Shamsul Kamar Samsuddin.
Sementara itu, turut hadir sama menyaksikan majlis tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar.
Ujarnya, kesiapsiagaan keselamatan perairan negara akan meningkat dengan adanya perolehan itu bagi membantu operasi Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








