Malaysia perkenal pasport antarabangsa baharu dengan tempoh sah laku 10 tahun mulai esok
KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) struktur baharu yang menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, sekali gus menjadi satu lagi langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara dan meningkatkan kemudahan kepada rakyat.
Pelancaran PMA baharu itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, mulai 1 Julai 2026, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas boleh memilih untuk memohon Pasport Malaysia Antarabangsa dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan masing-masing.
Menurut kementerian itu, pengenalan pasport 10 tahun dijangka dapat mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
“Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350 manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.
“Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu.
KDN berkata, selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan global yang semakin kompleks, PMA struktur baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan berbanding 49 ciri keselamatan pada pasport sedia ada.
Antara teknologi keselamatan yang digunakan termasuk guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraungu (UV) yang direka bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
Menurut KDN, Malaysia merupakan antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan e-Pasport sejak tahun 1998 dan PMA struktur baharu itu meneruskan tradisi tersebut dengan mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).
Selain aspek keselamatan, pasport baharu itu turut menampilkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan.
“PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan Bunga Raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada.
“Ikon utama baharu ini diperkenalkan sebagai lambang keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara,” kata kenyataan itu lagi.
KDN memaklumkan, pelaksanaan PMA struktur baharu akan dilakukan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara mulai Julai ini bagi memastikan peralihan operasi berjalan lancar.
Menurut kementerian itu, mesin pencetak generasi baharu yang digunakan mampu mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi menampung keperluan pengeluaran semasa yang mencecah purata 160,000 pasport sebulan.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah digunakan.
“Pasport sedia ada masih sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tamat tempoh,” katanya.
KDN menegaskan, Pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia dan pengenalan PMA struktur baharu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat, moden, dipercayai serta setanding dengan amalan terbaik antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















