Minta suapan RM50,000, pegawai kanan agensi penguat kuasa direman SPRM
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta rasuah RM50,000.
Suapan itu dipercayai sebagai balasan agar tiada tindakan diambil terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Khamis ini dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 23 Jun lalu dan telah meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.
“Bagaimanapun selepas itu suspek telah bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta untuk mengurangkan bayaran,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















