Ops Sky: Akaun tiga selebriti tanah air tidak dibekukan – SPRM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membekukan akaun milik tiga selebriti tanah air yang terlibat sebagai duta syarikat yang mempromosikan pakej pinjaman dan pelaburan yang dibongkar baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka hanya dipanggil untuk membantu siasatan berhubung pelantikan mereka sebagai influencer bagi syarikat perunding kewangan yang disyaki terlibat dengan rasuah.
“Perlu saya tegaskan di sini, kita tidak bekukan akaun selebriti tersebut kerana ia tak ada kena mengena dengan akaun mereka.
“Hanya akaun syarikat berkenaan bernilai RM18 juta dibekukan. Saya melihat mereka sebagai pempengaruh kepada syarikat itu.
“Mereka dipanggil bukan sahaja untuk melengkapkan siasatan tetapi kami mahu melihat mengapa syarikat tersebut menggunakan selebriti bagi mempromosikan pakej pinjaman dan pelaburan yang ditawarkan,” kata Azam dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Tambah beliau, jika ada begitu banyak pelaburan yang digunakan untuk membayar mereka, ia menimbulkan keraguan kepada pegawai penyiasat.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan kehadiran tiga selebriti tersebut iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Ibu Pejabat SPRM pagi tadi untuk dirakam keterangan mereka.
Malaysia Tribune sebelum ini melaporkan kejayaan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








